PENDEKATAN QAWA’ID FIQHIYYAH DALAM MEMBENTUK AKHLAK DAN ETIKA PEKERJA: SATU ANALISIS PANDUAN NILAI YANG MENYELURUH
الكلمات المفتاحية:
Qawaʾid fiqhiyyah، Etika Kerja Islam، Kepimpinan، Integriti Organisasi، Murāqabahالملخص
Artikel ini mengkaji peranan qawaʾid fiqhiyyah (kaedah fiqh) dalam membentuk etika pekerja dalam organisasi moden. Pendekatan etika konvensional yang hanya bergantung kepada peraturan luaran dan mekanisme hukuman kini dilihat semakin tidak berkesan untuk menangani cabaran semasa seperti materialisme, tekanan kerjaya dan kerumitan teknologi. Kelemahan pendekatan ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk satu kerangka etika yang berakar kepada nilai-nilai dalaman, bukan sekadar kawalan luaran. Melalui analisis kualitatif terhadap literatur fiqh Islam klasik dan karya sarjana kontemporari berkaitan etika kerja Islam, kajian ini mengenal pasti tiga kaedah fiqh utama seperti al-umūr bi maqāṣidihā, al-yaqīn lā yuzālu bi al-shakk, dan darʾ al-mafāsid muqaddam ʿalā jalb al-manāfiʿ, berserta beberapa kaedah cabang, sebagai panduan moral praktikal yang melampaui sekadar rujukan hukum yang kaku. Kaedah-kaedah ini berfungsi sebagai pembimbing dinamik untuk mendidik kawalan diri dan membangkitkan kesedaran Murāqabah (kesedaran pemerhatian Allah SWT). Kesimpulannya, penerapan kaedah fiqh dalam budaya kerja mampu melahirkan pekerja yang seimbang antara kecekapan profesional dan keluhuran akhlak, sekaligus menawarkan kerangka Islam yang kukuh untuk dasar organisasi dan pembangunan modal insan.